Pernah tak anda rasa susah sangat nak buatkan anak anda minat membaca?
Buku dah banyak yang anda beli, cerita pun anda dah bacakan pada mereka sebelum tidur, tapi mereka tetap lebih tertarik kepada gajet ataupun permainan yang lain.
Mesti stress kan. Takpe saya faham situasi anda.
Sebenarnya untuk memupuk minat membaca bukanlah sesuatu yang boleh berlaku dalam sekelip mata.
Ianya adalah proses yang perlu dilakukan perlahan-lahan dan menuntut kesabaran anda sebagai ibu bapa.
Tetapi kalau kena dengan caranya, anak-anak bukan saja akan suka membaca, malah akan menjadikannya sebahagian daripada rutin harian mereka.
Jadi bagaimana cara memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak?
Mari kita bincangkan bersama-sama.
Pendahuluan
Membaca bukan sekadar aktiviti untuk mengisi masa lapang, tetapi lebih dari itu ia adalah kunci utama dalam perkembangan awal kanak-kanak.
Tahukah anda, kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang didedahkan kepada buku sejak kecil memiliki perbendaharaan kata yang lebih luas?
Selain itu, kanak-kanak ini juga akan mempunyai kemahiran bahasa yang lebih baik berbanding mereka yang kurang terdedah kepada bahan-bahan bacaan.
Malah, menurut satu kajian dari Ohio State University, kanak-kanak yang dibacakan buku setiap hari boleh mendengar sehingga 1.4 juta perkataan lebih banyak sebelum umur 5 tahun berbanding mereka yang tidak biasa dengan buku.
Bayangkan betapa besarnya kesan dari amalan membaca terhadap perkembangan otak kanak-kanak.
Lebih awal anak-anak didedahkan dengan buku, lebih mudah untuk mereka membina tabiat membaca yang berkekalan.
Membaca membantu meningkatkan daya imaginasi, kemahiran berfikir kritis, dan membentuk asas pembelajaran sepanjang hayat.
Selain itu, membaca bersama anak bukan sahaja mengeratkan hubungan ibu bapa dan anak, tetapi juga mencipta pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan.
Jadi, jika anda mahu anak-anak membesar dengan rasa ingin tahu dan suka belajar, langkah pertama yang mudah yang patut anda mulakan ialah dengan membina minat membaca sejak kecil 🙂
Kenapa Minat Membaca Perlu Dipupuk Sejak Dari Awal?
Ramai ibu bapa ingat, membina minat membaca sejak kecil adalah dengan mengajar anak mengenal huruf atau mengeja perkataan, tetapi sebenarnya ia bukan setakat itu.
Lebih dari itu, membina minat membaca sejak kecil adalah kerana ianya langkah penting dalam perkembangan keseluruhan kehidupan mereka pada masa akan datang.
Di bawah ini saya kongsikan dengan anda sebab utama kenapa tabiat membaca perlu dipupuk seawal mungkin:
1. Perkembangan Otak yang Pesat pada Usia Awal
Pada tahun-tahun pertama kehidupan mereka, otak kanak-kanak berkembang dengan sangat cepat.
Menurut pakar neurologi, 90% perkembangan otak berlaku sebelum usia 6 tahun.
Pada fasa ini, pengalaman awal yang diterima oleh kanak-kanak akan membentuk cara mereka belajar, berfikir dan berkomunikasi.
Membaca sejak kecil membantu menguatkan sambungan saraf di dalam otak, terutamanya dalam bahagian yang berkaitan dengan bahasa, daya ingatan dan pemprosesan maklumat.
2. Membantu Kemahiran Bahasa dan Komunikasi
Kanak-kanak yang terbiasa mendengar cerita dan berinteraksi dengan buku lebih cepat menguasai bahasa berbanding kanak-kanak yang kurang terdedah kepada bahan-bahan bacaan.
Membaca bukan sahaja memperkayakan perbendaharaan kata mereka, tetapi juga mengajar mereka cara membina ayat dan menyusun pemikiran dengan lebih jelas.
Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang dibacakan buku sejak bayi boleh memiliki lebih 1 juta perkataan tambahan dalam perbendaharaan kata mereka menjelang umur 5 tahun.
Serius saya rasa menyesal sangat lepas dapat tahu tentang maklumat ni. Kalaulah saya tahu awal, dah tentu saya akan bacakan buku pada anak-anak saya masa mereka masih bayi.
3. Meningkatkan Imaginasi dan Kreativiti
Apabila anda memegang buku, ianya bukan sekadar buku.
Tahukah anda buku adalah kunci yang akan membuka pintu kepada dunia yang penuh kemungkinan.
Apabila kanak-kanak membaca atau mendengar cerita yang anda bacakan, mereka membayangkan watak, tempat dan situasi yang diceritakan.
Perlakuan ini bukan sahaja akan merangsang daya imaginasi mereka, tetapi juga membantu mereka berfikir secara kreatif dan melihat sesuatu dari pelbagai perspektif.
4. Membentuk Minat terhadap Pembelajaran Sepanjang Hayat
Kanak-kanak yang seronok membaca sejak kecil cenderung untuk mempunyai sikap yang lebih positif terhadap pembelajaran.
Mereka lebih bersedia untuk meneroka perkara baru, lebih mudah memahami konsep di sekolah, dan akan lebih berdikari dalam mencari ilmu.
Membaca sejak awal juga dikaitkan dengan pencapaian akademik yang lebih tinggi di kemudian hari.
5. Mengukuhkan Hubungan Ibu Bapa dan Anak
Membaca bersama anak bukan sahaja aktiviti pembelajaran, tetapi juga satu cara untuk mengeratkan hubungan.
Saat anda duduk bersama anak-anak, membaca dengan suara yang penuh ekspresi, dan berbincang tentang cerita yang dibaca, ia mencipta kenangan berharga dan membina ikatan emosi yang kuat.
Kajian juga menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mempunyai hubungan emosi yang baik dengan ibu bapa lebih mudah membina keyakinan diri dan kestabilan emosi.
Kesimpulan
Kesimpulannya, sebagai ibu bapa, anda kena sedar bahawa minat membaca bukanlah sesuatu yang datang secara semulajadi, ia perlu dipupuk dan dibentuk sejak awal lagi.
Dengan memberikan pendedahan yang cukup kepada buku, dan menjadikan membaca sebagai aktiviti menyeronokkan, anda bukan sahaja membantu anak-anak menjadi pembaca yang baik, tetapi juga menyediakan mereka dengan kelebihan yang akan memberikan manfaat sepanjang kehidupan mereka.
Jadi, jangan tunggu lagi, mulakan sekaran dan jadikan membaca sebagai sebahagian daripada kehidupan anak-anak kita.
Faktor yang Mempengaruhi Minat Membaca Kanak-Kanak
Minat membaca dalam kalangan kanak-kanak bukanlah satu tabiat yang boleh muncul secara tiba-tiba.
Sudah tentulah ada faktor-faktor yang akan mempengaruhi keadaan tersebut yang secara tidak langsung akan mengubah sikap mereka terhadap buku.
Kalau anda faham faktor-faktor ini, tentu akan lebih mudah untuk anda galakkan anak-anak anda suka membaca sejak kecil.
Jom lihat satu per satu apakah faktor-faktor tersebut.
1. Persekitaran Rumah yang ‘Mesra Buku’
Cuba anda bayangkan rumah yang ada banyak buku berbanding rumah yang mana TV dan gajet yang lebih menonjol.
Anda rasa rumah yang mana satu yang lebih cenderung melahirkan anak-anak yang minat membaca?
Anda pun mesti tahu jawapannya kan.
Kanak-kanak yang membesar di dalam rumah yang penuh dengan buku biasanya akan lebih cenderung untuk mencapai buku berbanding mereka yang tidak biasa melihat buku disekeliling mereka.
Jadi kalau anda nak anak minat membaca sejak kecil lagi, buatkan satu sudut kecil khas untuk bacaan di rumah, dan letakkan buku di tempat yang mudah dicapai dan jadikan buku sesuatu yang biasa di dalam kehidupan anak-anak anda.
2. Peranan Ibu Bapa sebagai Role Model
Anak-anak ni sebenarnya suka meniru perangai ibu bapa mereka.
Kalau anda sendiri selalu membaca, mereka pun akan fikir membaca tu sesuatu yang menyeronokkan.
Tapi kalau anda pun selalu asyik dengan TV dan telefon, janganlah terkejut kalau anak pun akan ikut perangai yang sama.
Nak anak minat membaca?
Tunjukkan contoh kepada mereka.
Baca buku dihadapan mereka, kongsi cerita menarik yang anda telah baca, dan buatkan mereka rasa buku tu sesuatu yang sangat berharga.
3. Pengalaman Bacaan yang Menyeronokkan
Bila anda buat sesi membaca dengan anak-anak, jangan buat sesi macam sekolah.
Kaku dan akan membosankan.
Sebaliknya anda patut jadikan masa membaca sebagai masa yang menyeronokkan.
Macam mana?
Gunakan suara yang berintonasi, buat ekspresi muka, atau buat props untuk menghidupkan cerita.
Kalau anda membaca cerita tentang haiwan, cuba tiru bunyi binatang tersebut.
Kalau anda cerita tentang angin kuat, tiup perlahan ke muka anak.
Kalau anda mampu buat yang lebih interaktif dan kreatif, anak-anak pasti akan lebih suka dan teruja.
Mereka akan tak sabar untuk menunggu sesi membaca yang seterusnya.
4. Pemilihan Buku yang Sesuai
Pemilihan buku yang sesuai juga sangat penting untuk anak-anak.
Sebab buku yang terlalu susah atau yang tak menarik bagi umur mereka akan membuatkan mereka menjadi cepat bosan.
Kanak-kanak suka gambar yang berwarna-warni, cerita yang dekat dengan kehidupan mereka, dan juga teks yang tak terlalu panjang.
Jadi pilihlah buku yang sesuai dengan umur dan juga minat mereka.
Kalau anak suka dinasour, carikan buku tentang dinasour.
Kalau mereka suka suka puteri dan raja, carilah buku dongeng yang menarik.
5. Interaksi dan Galakan Positif
Anak-anak ni sangat suka kalau anda berikan perhatian dan pujian kepada mereka.
Jadi, setiap kali bila mereka tunjukkan minat terhadap buku, raikan mereka.
Anda boleh gunakan ayat-ayat seperti berikut untuk memberikan galakan kepada mereka.
“Wah, pandainya adik pilih buku ni!” atau “Bagusnya! Jom baca sama-sama.”
Bila mereka rasa membaca tu sesuatu yang menggembirkan, mereka akan lebih cenderung untuk melakukannya berulang-ulang kali.
6. Teknologi dan Gajet
Memang tidak dapat dinafikan bahawa gajet boleh menjadi gangguan yang besar.
Kalau seharian anda membiarkan anak-anak dengan gajet, minat mereka terhadap buku akan berkurangan.
Tetapi, kalau anda bijak mengawal, gajet sebenarnya boleh juga memberikan manfaat.
Sebab ada ebook yang berbentuk interaktif, audiobook, dan juga aplikasi membaca yang boleh menarik minat mereka untuk membaca.
Apa yang penting ialah, anda kena bijak untuk seimbangkan penggunaan gajet dan juga buku fizikal.
7. Hubungan Emosi dengan Membaca
Membaca bukanlah sekadar tentang mengenal huruf, tapi ia juga tentang perasaan dan pengalaman.
Kalau anda dan anak-anak selalu membaca dalam suasana yang penuh dengan kasih sayang, mereka akan kaitkan membaca dengan perasaan bahagia.
Sebab itulah sesi membaca sebelum anak-anak tidur sangat berkesan kerana ia bukan sahaja membantu anak tidur dengan lebih lena, tapi juga dapat mengukuhkan ikatan diantara anda dan anak-anak.
Jadi, kalau nak anak-anak anda suka membaca, andalah kena bagi pengalaman yang seronok, beri contoh yang baik, dan pastikan buku sentiasa ada dalam kehidupan mereka.
Minat membaca ni tak datang dengan paksaan, tapi dengan pendekatan yang betul, mereka sendiri akan rasa membaca tu sesuatu yang seronok.
Strategi Membina Minat Membaca Sejak Kecil
Nak anak suka membaca sejak kecil?
Anda tak perlu memaksa mereka. Apa yang anda perlukan adalah strategi yang betul.
Sebab macam yang saya katakan sebelum ni, tabiat suka membaca bukanlah satu tabiat yang datang secara semulajadi, ianya perlu dipupuk dengan cara yang betul.
Jom kita lihat apakah strategi yang boleh anda lakukan untuk membina minat membaca anak-anak sejak dari mereka kecil
1. Jadikan Buku Sebagai ‘Mainan’ Pertama Anak
Biasanya bayi dan kanak-kanak kecil ni lebih tertarik kepada mainan yang berwarna-warni dan berbunyi.
Jadi, kenapa tak jadikan buku sebagai salah satu daripada ‘mainan’ mereka?
Anda boleh gunakan buku kain, buku plastik (boleh bawa mandi), ataupun buku berbentuk interaktif supaya anak-anak akan terbiasa dengan kehadiran buku dalam hidup mereka sejak dari awal lagi.
Tip: Letakkan beberapa buku dalam kotak mainan mereka. Bila mereka bermain, mereka akan terbiasa untuk ‘mengusik’ buku juga.
2. Bacakan Buku Sejak Bayi Lagi
Ramai ibu bapa yang berfikir bayi tak faham apa-apa kalau dibacakan buku.
Tapi yang sebenarnya, lagi awal anak mendengar bunyi bahasa dan melihat buku, semakin mudah untuk mereka membina hubungan yang positif dengan membaca.
Satu lagi, bayi sebenarnya suka mendengar suara ibu bapa mereka, jadi bacakan buku kepada mereka dengan nada yang ceria, intonasi yang berbeza, dan juga ekspresi wajah yang menarik.
Tip: Bacakan walaupun anak kelihatan ‘tak faham’. Bunyi suara, ritma, dan warna dalam buku tetap membantu perkembangan otak mereka.
3. Jadikan Membaca Sebagai Rutin Harian
Sama macam rutin harian seperti mandi dan makan, bacaan juga boleh dijadikan sebagai sebahagian jadual harian anak.
Contohnya, bacakan satu buku sebelum tidur setiap malam.
Bila dah jadi kebiasaan, anak akan dengan sendirinya rasa macam tak lengkap kalau tak membaca sebelum tidur.
Tip: Tak sempat baca panjang? Tak mengapa! Bacalah walaupun cuma beberapa minit sehari – yang penting konsisten.
4. Beri Kebebasan Memilih Buku
Kanak-kanak suka rasa mereka ada kawalan dalam sesuatu perkara yang mereka suka.
Jadi, bila mereka diberi pilihan untuk memilih buku mereka sendiri, mereka akan rasa lebih teruja untuk membaca buku tersebut.
Tip: Bila ke kedai buku atau perpustakaan, beri anak peluang untuk pilih buku yang mereka suka. Jangan risau kalau mereka asyik pilih buku yang sama setiap kali – ini normal!
5. Wujudkan Suasana yang Menggalakkan Membaca
Kanak-kanak akan lebih cenderung untuk membaca kalau mereka dikelilingi oleh buku.
Gunakan kecenderungan ini.
Anda tak perlu nak adakah sebuah perpustakaan besar di rumah, tetapi cukuplah sekadar sudut membaca yang selesa dengan sebuah rak buku yang kecil, bantal yang empuk dan juga pencahayaan yang baik.
Tip: Letakkan buku di tempat mudah dicapai – contohnya di ruang tamu, dalam bilik tidur, atau dalam kereta.
6. Gunakan Teknik Bacaan Interaktif
Jangan hanya membaca secara monoton.
Anda perlu menghidupkan penceritaan dengan cara yang menyeronokkan supaya anak-anak anda tidak merasa bosan dan mereka pun akan rasa terlibat sama.
Caranya ialah:
- Gunakan intonasi suara berbeza untuk watak-watak dalam cerita.
- Tunjukkan gambar dalam buku dan ajak anak teka atau sebut nama objek.
- Biarkan anak melengkapkan ayat terakhir dalam cerita yang mereka sudah biasa dengar.
- Gunakan aksi fizikal – contohnya, jika cerita tentang angin, tiup lembut ke wajah anak.
Tip: Semakin interaktif bacaan, semakin tinggi minat anak!
7. Jadilah Contoh yang Baik (Anak Tiru Apa yang Anda Buat!)
Anak-anak juga belajar melalui pemerhatian mereka.
Kalau mereka selalu nampak ibu bapa membaca, mereka pun akan rasa yang membaca ni adalah sesuatu yang menarik dan normal di dalam kehidupan.
Tip: Pastikan anak nampak anda membaca – tak kisahlah buku, majalah atau artikel di telefon. Yang penting, tunjukkan bahawa anda suka membaca!
8. Kaitkan Membaca dengan Pengalaman Harian
Anda nak buat anak lebih teruja?
Sambungkan cerita yang anda baca dengan dunia sebenar mereka
Contohnya:
- Kalau baca cerita tentang zoo, bawa mereka ke zoo dan cari haiwan yang disebut dalam buku.
- Kalau baca tentang angkasa lepas, tengok dokumentari atau buat aktiviti berkaitan planet bersama mereka.
Bila anak dapat kaitkan apa yang mereka baca dengan pengalaman sebenar, mereka akan lebih menghargai buku dan seronok untuk terus membaca.
9. Elakkan Jadikan Membaca Sebagai Paksaan
Ingat, bagaimana anda teruja pun nak anak dapat membaca dengan cepat, jangan sampai anda memaksa mereka dalam keadaan yang mereka tak selesa.
Paksaan hanya akan menjadikan anda melihat membaca itu sebagai sesuatu yang membosankan atau menakutkan.
Tip: Biarkan proses membaca berlaku secara semula jadi dan seronok. Jika anak belum bersedia, teruskan usaha dengan cara yang santai dan tidak menekan.
10. Gunakan Teknologi dengan Bijak
Anak-anak zaman sekarang memang tak boleh lari dari terdedah kepada skrin dan gajet.
Sebab itu dah memang zaman mereka.
Tapi sebagai bu bapa, anda perlu bijak untuk menggunakannya sebagai satu kelebihan.
Bagaimana?
- Gunakan audiobook untuk membiasakan anak dengan cerita.
- Pasang video bacaan cerita interaktif yang boleh menghidupkan buku dengan animasi.
- Aplikasi membaca seperti Epic! atau Reading Eggs boleh bantu tarik minat membaca.
Tip: Pastikan penggunaan skrin seimbang dengan bacaan buku fizikal supaya anak tetap dapat pengalaman membaca yang sebenar.
Kesimpulan
Apa yang perlu anda sedar di sini ialah, membina minat membaca sejak kecil bukanlah sesuatu yang berlaku dalam sehari dua, tapi dengan strategi yang betul, anak-anak akan membesar dengan rasa cinta terhadap buku.
Yang penting, anda jangan terlalu memaksa, jadikan membaca satu aktiviti yang menyeronokkan, dan tunjukkan kepada mereka contoh yang baik.
Dengan usaha yang berterusan, anda bukan saja membantu anak-anak membaca dengan lebih awal, tapi juga membuka pintu kepada dunia ilmu yang tak terhingga.
Jadi, jom mula dari sekarang! Apa buku pertama yang anda nak bacakan untuk si kecil hari ini?
Mengatasi Cabaran dalam Membina Minat Membaca
Untuk membina minat membaca sejak kecil bukanlah sesuatu yang mudah.
Ada banyak cabaran yang anda kena hadapi, terutamanya dalam dunia moden yang penuh dengan gangguan seperti gajet dan media digital.
Tapi anda jangan risau! Semua cabaran ini ada cara untuk anda mengatasinya.
Jadi mari saya kongsikan satu per satu apakah cabaran tersebut dan bagaimana untuk mengatasinya.
1. Anak Lebih Tertarik dengan Gajet Berbanding Buku
Memang tak dapat dinafikan, di zaman yang serba canggih sekarang ni, tablet dan telefon pintar seringkali akan menjadi ‘peneman’ anak sejak kecil.
Video yang berwarna-warni dan permainan interaktif, pastinya akan lebih menarik perhatian mereka berbanding buku biasa.
Jadi macam mana cara nak mengatasinya?
- Jangan larang terus penggunaan gajet. tetapi apa yang sepatutnya anda lakukan ialah seimbangkan penggunaannya. Contohnya selepas 20 minit menonton video, ajak pula anak membaca selama 10 minit.
- Gunakan buku interaktif yang ada tekstur, bunyi, atau ‘flap’ tersembunyi supaya anak anda akan rasa membaca juga menyeronokkan.
- Pilih buku yang mempunyai elemen digital seperti QR code yang boleh diimbas untuk menonton animasi atau mendengar bacaan cerita.
2. Anak Cepat Bosan Bila Membaca
Sifat kanak-kanak kecil ialah mereka mudah hilang fokus dan bosan kalau sesuatu aktiviti tu terlalu statik atau tidak cukup menarik perhatian mereka.
Apa yang boleh anda lakukan untuk mengatasinya ialah:
- Jadikan sesi membaca lebih menyeronokkan dengan menggunakan intonasi suara yang berbeza untuk setiap watak.
- Gunakan buku interaktif seperti buku pop-up atau buku yang mempunyai bahagian boleh disentuh dan bergerak.
- Bacakan buku yang berkaitan dengan minat anak. Contohnya kalau anak suka dinosaur, cari buku tentang dinosaur!
3. Anak Tidak Suka Duduk Diam untuk Membaca
Ragam kanak-kanak ni tak sama. Ada sesetengah kanak-kanak ni mempunyai tenaga yang tinggi dan tak boleh duduk diam untuk membaca walaupun hanya beberapa minit.
Jadi apa yang boleh dilakukan jika anak anda termasuk dalam kanak-kanak macam ni?
Antara yang boleh anda lakukan ialah:
- Pilih buku yang boleh melibatkan pergerakan. Contohnya, jika cerita tentang haiwan, ajak anak meniru bunyi atau pergerakan haiwan dalam cerita tersebut.
- Bacakan buku semasa anak melakukan aktiviti lain, seperti bermain dengan blok atau mewarna.
- Gunakan teknik ‘Read and Play’, contohnya, selepas baca cerita tentang memasak, ajak anak ‘masak’ bersama dalam permainan olok-olok.
4. Kurangnya Pendedahan kepada Buku
Oleh kerana anak anda memang tak pernah diberikan pendedahan kepada buku, perkara pertama yang anda kena buat ialah wujudkan dulu minat dalam diri mereka.
Jika tidak, apa yang akan berlaku ialah mereka mungkin tidak akan menunjukkan minat untuk membaca.
Cuba langkah-langkah di bawah untuk mengatasinya:
- Sediakan sudut membaca yang menarik di rumah dengan rak kecil yang penuh dengan buku yang sesuai untuk usia anak.
- Pastikan buku mudah dicapai oleh anak, letakkan di tempat yang mereka boleh ambil sendiri.
- Jadikan buku sebahagian daripada kehidupan harian dengan cara membawa buku ke mana-mana, seperti di dalam kereta atau semasa menunggu di klinik.
5. Ibu Bapa Sibuk dan Kurang Masa untuk Membaca dengan Anak
Satu lagi realiti yang tak boleh dinafikan ialah, dengan ekonomi yang semakin mencabar, ramai dikalangan para isteri yang terpaksa bekerja untuk membantu suami mengukuhkan ekonomi keluarga.
Jadi kalau dah kedua-duanya bekerja, susah nak cari masa untuk luangkan masa membaca dengan anak.
Takpe, cuba lakukan langkah-langkah di bawah:
- Tetapkan masa membaca yang konsisten setiap hari, walaupun hanya 5-10 minit sebelum tidur.
- Gunakan audiobook jika anda benar-benar sibuk, anak masih boleh mendengar cerita walaupun anda tidak sempat membacakan sendiri.
- Libatkan ahli keluarga lain seperti datuk dan nenek dalam sesi membaca bersama anak.
6. Anak Lebih Suka Main Daripada Membaca
Bermain adalah tabiat semulajadi kanak-kanak. Ini normal.
Bagi kanak-kanak bermain adalah aktiviti utama mereka.
Kadang-kadang mereka lebih suka bermain daripada duduk diam membaca buku.
Cuba cara-cara di bawah untuk mengatasinya:
- Gabungkan membaca dengan aktiviti bermain. Contohnya, selepas membaca buku tentang putera raja dan puteri, ajak anak berlakon menjadi watak-watak dalam cerita tersebut.
- Gunakan buku cerita yang berkaitan dengan permainan kesukaan anak. Jika anak suka Lego, bacakan cerita tentang binaan dan bangunan.
- Wujudkan sesi ‘Story Time’ interaktif, di mana anak boleh melibatkan diri dalam cerita, seperti membantu mencipta pengakhiran sendiri.
7. Anak Sering Memilih Buku yang Sama Berulang Kali
Pernah tak anda berdepan dengan situasi di mana anak asyik nak beli buku yang sama je?
Sampai anda pun dah naik bosan.
Mungkin pernah kan.
Ok, apa kata anda cuba cara-cara di bawah:
- Jangan risau! Mengulang bacaan buku yang sama sebenarnya bagus kerana ia membantu anak memahami cerita dengan lebih mendalam dan membina kefasihan bahasa.
- Cuba perkenalkan buku baru secara perlahan-lahan, contohnya, “Hari ni kita baca buku kegemaran adik dulu, lepas tu kita cuba buku yang baru ni pula, ya?”
- Kaitkan cerita dalam buku kegemaran anak dengan buku lain yang mempunyai tema yang hampir sama supaya mereka lebih terbuka untuk membaca buku baharu.
Kesimpulan
Nak pupuk minat membaca pada anak memang banyak cabarannya, tapi jangan jadikan itu alasan untuk berputus asa.
Yang penting, lakukan dengan sabar, kreatif, dan jadikan membaca satu aktiviti yang menyeronokkan, bukan paksaan.
Dengan strategi yang betul, anda boleh bantu anak-anak membesar sebagai pencinta buku.
Jadi, apa kata anda mulakan hari ini? Buku apa yang anda akan bacakan untuk si kecil malam ini?
Kesimpulan
Akhir sekali sebelum mengakhiri penulisan artikel ini, saya rumuskan balik isi-isi penting yang saya dah kongsikan dalam artikel di atas.
Pertama, anda kena sedar dan faham bahawa untuk membina minat membaca pada diri anak-anak, ianya bukanlah sesuatu yang boleh berlaku secara tiba-tiba, tetapi ianya adalah suatu proses yang memerlukan kesabaran, konsistensi, dan juga kreativiti anda sebagai ibu bapa.
Yang kedua, anak-anak belajar daripada apa yang mereka lihat dan alami setiap hari. Jadi, jika anda mahu mereka rasa seronok dengan buku, anda sendiri perlu menunjukkan contoh terlebih dahulu yang membaca itu sesuatu yang menyeronokkan.
Yang ketiga, jangan tergesa-gesa. Mulakan dengan langkah yang kecil dulu. Bacakan kepada anak-anak dengan penuh ekspresi, libatkan anak dalam pemilihan buku, dan cuba jadikan sesi membaca ni satu aktiviti yang selalu ditunggu-tunggu oleh mereka.
Jangan rasa risau kalau anak tak berapa nak tunjuk minat pada peringkat awal, yang penting anda perlu memberikan peluang dan mencipta persekitaran yang dapat mendorong mereka untuk mencintai dunia buku.
Dan yang terakhir, ingatlah bahawa membaca ni bukan semata-mata nak bagi anak kenal huruf, ia lebih dari itu.
Membaca adalah kunci untuk membuka pintu imaginasi, membentuk pemikiran yang kritis, dan menyediakan mereka dengan asas yang kukuh untuk masa depan.
Jadi, mulakan sekarang dan nikmatilah setiap saat dalam perjalanan ini bersama dengan anak-anak anda :).
Berjumpa lagi dalam artikel yang akan datang!
Jika anda rasa artikel ini bermanfaat, kongsikan dengan rakan-rakan anda!
